*i'm
posting this story/article here because m proud to be a Johorian and
theres a song here that i love to hum... nyways, its a meaningful story
and a historical one.

Kebencian terhadap penjajah punca pendekar yang didakwa lanun bersama pengikut bangkit menentang British
ADA beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran
sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu.
Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan
mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak
disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.
Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan misteri itu
didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli
Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul
Latip Talib, memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan
mereka.
“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang
sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai
pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu,
tahun lalu.
Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk
Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak
pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan
sekutunya di Johor.
“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura
seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip
seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang
kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.
Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak
diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri
diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.
Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera
baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor
tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.
Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si
Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir
pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat
pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.
Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu
dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal
iaitu Tengku Ali.
Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak.
Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya
yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula
cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.
Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar
sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain
senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki
ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak
atau ditikam senjata tajam.
Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat
menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya
sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.
Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai
pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata
serta mengendalikan kapal di laut.
Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan
hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama
pengikutnya bangkit menentang.
Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor
untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan
itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.
Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan
dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana
kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan
bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya
menghapuskan kumpulan Si Bongkok.
Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si
Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa
yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan
itu.
Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan
berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan
British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki
ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang
diserang mereka.
Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor,
Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok.
Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si
Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia
menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.
Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan
kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk
menyerangnya.
Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang
menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas
kapal, di tengah lautan.
Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas.
Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas
ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.
Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus
menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan
lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung
beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok
berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung
Belungkur.
Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.
Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya
sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong
Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman
menyebabkan mereka bermusuhan.
Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si
Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali
menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si
Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di
Tanjung Puteri dan Singapura.
Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi
kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat
kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan
laut Johor.
Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.
Lirik lagu Tanjung Puteri
Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri
Inggeris label pemuda cacat sebagai pengganas
“SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.
“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa
mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan
itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok
Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.
Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan
bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan
yang sememangnya disokong penduduk tempatan.
Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan
pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka
tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.
Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit
Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama
setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan
keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan
berkenaan.
Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu
menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada
usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping
papan yang sudah reput.
“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang
lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok
yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.
Abdul Talib berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan selain
cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir
ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok
sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya
turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.
Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak
tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan
terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang
menentang penjajah.
Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat
Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam
ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si
Bongkok akan dikenang melewati masa.
“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada
lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada
pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai
pahlawan kita yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka
tidak dicatat dalam sejarah.
“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan
pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf
dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,”
katanya.
Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara pusara Si
Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan
saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.
“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri
pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana
terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan
penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.
-Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)
re-post from : http://elliv.blogspot.com